Monday, April 5, 2010

Suku Kedua 2010

Sesi persekolahan 2010 sudah masuk ke suku kedua. Dalam industri yang mengutamakan keuntungan, syarikat sudah mula mengukur dan menilai pencapaian suku pertama dan mengambil tindakan penambahbaikan dalam mana-mana perjalanan sektor, bahagian dan unit demi menjamin keberkesanan organisasi untuk mencapai matlamat pada akhir tahun. Sekolah, wpun sektor kerajaan, namun dalam zaman moden hari ini, cara yang hampir sama diguna pakai untuk melihat keberkesanan sekolah dan pencapaian pada akhir tahun. Terbaru, melalui NKRA, setiap sekolah disyaratkan mencapai sasaran tertentu (sasaran KPM) sebagai bukti peningkatan kualiti dan penambahbaikan sekolah. Justeru, saya mengajak semua guru, mari kita semak kembali semua usaha, program, aktiviti dan tanggungjawab kita dan membuat penilaian sejauh mana pencapaian kita pada suku pertama 2010. Berdasarkan SKT kita, buatlah penilaian kendiri serta unit-unit kecil dalam pengurusan sekolah, sejauh mana kita terlibat, berperanan dan memberi sumbangan besar mengikut senarai tugas yang diamanahkan kepada kita. Seterusnya, ambillah tindakan susulan untuk menambahbaik mana-mana bahagian yang kita rasakan tidak menunjukkan impak yang besar terutama kepada murid, diri kita dan sekolah. Semoga kita sentiasa bertambah baik dan cemerlang.