Tuesday, April 13, 2010

Program Kecemerlangan Akademik Tahap 2

Tindakan Panitia Mata Pelajaran dan semua guru Tahap 2
1. Adakan mesyuarat panitia
- Guru mengajar bentang analisa keputusan Ujian Pengesanan 1
- Buat post mortem (kekuatan, kelemahan, pelan tindakan)
2. Buat pelaporan lengkap post mortem untuk dibentangkan dalam mesyuarat akan datang.

Meningkat kualiti e-pentadbiran dan e-learning sekolah
Semua guru diharap dapat menggunakan kemudahan ICt sekolah untuk meningkat kualiti e-pentadbiran dan e-learning sekolah. Blog ini adalah blog pentadbiran, semua guru wajib melihat blog ini untuk mendapatkan maklumat pentadbiran dan mengambil tindakan segera kepada apa-apa arahan dan makluman. Guru-guru boleh memberi maklum balas sebagai tanda sudah baca, atau sudah diambil tindakan melalui ruangan komen. Kita juga menggalakkan guru menggunakan kemudahan emel untuk berhubung antara satu sama lain. Sesungguhnya kemudahan ICT bukan saja membantu mempermudahkan kerja kita tetapi juga memberi impak yang besar kepada P&P dan pengurusan sekolah.

Sunday, April 11, 2010

Kemudahan login untuk semua guru dalam EMIS ONLINE

Sukacita dimaklumkan bahawa pihak Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP), KPM telah menyediakan kemudahan login bagi semua guru ke dalam Sistem Maklumat Asas Pendidikan (EMIS) secara online. Sistem EMIS Online ini boleh dilayari dialamat http://apps.moe.gov.my. Sehubungan itu semua guru di sekolah dikehendaki menyemak maklumat diri di dalam sistem tersebut. Dengan adanya kemudahan ini, ketepatan dan kesahihan data peribadi guru dalam Sistem EMIS adalah menjadi tanggungjawab guru-guru sendiri.

Keputusan Ujian Pengesanan 1 dan Rumusan Headcount
Semua guru diingatkan agar mengambil tanggungjawab mengikut bidang masing-masing agar analisa dan laporan lengkap siap sepenuhnya minggu ini. Terima kasih.

Saturday, April 10, 2010

Penyeliaan Klinikal P&P

Salah satu strategi meningkatkan kualiti P&P guru di bilik darjah ialah dengan cara mengadakan penyeliaan klinikal oleh barisan kepimpinan sekolah. Penyeliaan Klinikal bermaksud proses penyeliaan P&P secara klinikal, iaitu berlaku proses perbincangan antara guru mengajar dan penyelia sebelum dan selepas penyeliaan bagi menambahbaik amalan P&P guru di bilik darjah. Bagi memastikan proses ini berjalan lancar, semua guru perlu memberikan kerjasama. Dalam hal ini, saya sangat berharap semua guru sentiasa membuat persediaan dan melakukan proses P&P dengan baik sepanjang masa, sama ada diselia ataupun tidak. Matlamat kita adalah memberikan yang terbaik kepada murid.

Syabas Pasukan Hoki
Syabas dan tahniah kepada jurulatih dan pengurus pasukan hoki sekolah atas pencapaian mengekalkan tempat ketiga peringkat daerah sebagaimana tahun lepas.

Tuesday, April 6, 2010

Manual Pemantauan Kurikulum Berkualiti (PKB) JPN Kedah

Sila muat turun Manual Pemantauan Kurikulum Berkualiti (PKB) JPN Kedah, untuk bacaan, makluman dan tindakan semua guru. Manual ini diharap dapat membantu semua guru dalam memastikan pengurusan kurikulum sekolah berjalan dengan baik dan berkesan. Sila beri perhatian kepada perkara-perkara seperti;
1. Instrumen Penyeliaan Pengajaran dan Pembelajaran guru di bilik darjah.
2. Pemantauan Pengurusan Bilik Darjah, dan
3. Pemantauan Prestasi Murid.

Program Kelas Bersih, Ceria dan Interaktif
Semua guru kelas diharap dapat memberikan kerjasama dan bersungguh-sungguh untuk menjayakan program ini. Semua kelas mesti meningkatkan kebersihan, keceriaan dan berinteraktif kepada pembelajaran kendiri murid. Sesungguhnya usaha kita mendidik boleh dilakukan dengan pelbagai kaedah dan pendekatan. Justeru, program ini merupakan salah satu usaha secara tidak langsung memberikan maklumat dan pendidikan kepada murid.

Persekolahan ganti sempena Hari Raya Aidil Fitri
Sekolah akan mengadakan persekolahan ganti sempena cuti Hari raya Aidil Fitri pada hari Sabtu, 10 dan 24 April 2010.

Monday, April 5, 2010

Suku Kedua 2010

Sesi persekolahan 2010 sudah masuk ke suku kedua. Dalam industri yang mengutamakan keuntungan, syarikat sudah mula mengukur dan menilai pencapaian suku pertama dan mengambil tindakan penambahbaikan dalam mana-mana perjalanan sektor, bahagian dan unit demi menjamin keberkesanan organisasi untuk mencapai matlamat pada akhir tahun. Sekolah, wpun sektor kerajaan, namun dalam zaman moden hari ini, cara yang hampir sama diguna pakai untuk melihat keberkesanan sekolah dan pencapaian pada akhir tahun. Terbaru, melalui NKRA, setiap sekolah disyaratkan mencapai sasaran tertentu (sasaran KPM) sebagai bukti peningkatan kualiti dan penambahbaikan sekolah. Justeru, saya mengajak semua guru, mari kita semak kembali semua usaha, program, aktiviti dan tanggungjawab kita dan membuat penilaian sejauh mana pencapaian kita pada suku pertama 2010. Berdasarkan SKT kita, buatlah penilaian kendiri serta unit-unit kecil dalam pengurusan sekolah, sejauh mana kita terlibat, berperanan dan memberi sumbangan besar mengikut senarai tugas yang diamanahkan kepada kita. Seterusnya, ambillah tindakan susulan untuk menambahbaik mana-mana bahagian yang kita rasakan tidak menunjukkan impak yang besar terutama kepada murid, diri kita dan sekolah. Semoga kita sentiasa bertambah baik dan cemerlang.